Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kadangkala kita begitu alpa dengan keindahan dunia, hingga lupa kepada perkara perkara yang tersembunyi dari pandangan mata. Kadangkala kita begitu bersuka ria, namun kita terlupa adanya sahabat sahabat atau orang sekeliling yang sedang berduka. Kita mungkin melihat, namun kita tidak berfikir. Mungkin hari nie kita bertuah, namun kita tidak tahu apa akan terjadi untuk kita pada hari esok.
Hari ini aku dan sahabat sekerja nak buat short ride, melawat seorang sahabat seperjuangan yang terlantar sakit. Beliau dah hampir 2 bulan MC, dan hanya mampu terbaring dirumah. Sebulan lamanya beliau menjalani rawatan di hospital, dan kini telah dibenarkan untuk pulang kerumah namun harus melaukan rawatan fisioterapi.
Perjalanan singkat ini akan menuju ke Rantau, sebuah pekan kecil yang terdapat di negeri Sembilan ini. Pagi nie pun tak ramai yang akan turut serta, cuma kami berempat sahaja. RV di Petronas Taman Marida, Senawang.
Perjalanan yang sangat mendamaikan, melewati hutanan pepohon sawit yang akhirnya membawa kami terus ke pekan Rantau. Kami singgah seketika untuk bersarapan di sebuah gerai di tepi jalan.
Perjalanan diteruskan ke Kampung Kanchung Darat, sebuah perkampungan melayu di kawasan ini. melilau mencari rumah beliau dan akhirnya dapat berjumpa dengan beliau.
Radang Otot
Aku pun tak pernah dengar tentang penyakit ini sebelumnya. Dan penyakit ini sangat terpencil. Cuma 14 kes dilaporkan di seluruh Malaysia. Aku cuba untuk google dan mencari info, namun sangat terbatas. Penghidap penyakit ini katanya akan hilang upaya untuk melakukan pergerakan kerana otot otot yang tidak berfungsi akibat kehilangan daya. Sel sel otot telah mati dan kadar pertumbuhan otot baru kurang berbanding sel yang hilang.
Sedih dan terharu rasanya apabila melihat beliau yang telah susut terbaring dirumah. Sahabatku ini dahulunya memang cergas, normal dan seperti insan biasa seusianya. Namun dalam sekelip mata beliau jatuh sakit dan terlantar di hospital menerima rawatan. Aku pun terkejut apabila mendengar berita ini, sebab sebelum nie tak ada pulak dia menunjukkan simptom simpton yang dia nie sakit.
Menurut dari ceritanya, dia telah dihinggapi penyakit yang memang sangat jarang dihidapi. Penyakit ini menyerang cuma 14 kes sahaja di seluruh Malaysia, dan beliau adalah satu satunya dari Negeri Sembilan.
Dari cerita beliau, banyak perubahan positif yang berlaku padanya setelah lebih sebulan dia terlantar di hospital. Kini beliau dah mula boleh duduk walaupun tak lama. Keupayaannya sangat terbatas. Dahulunya dia tidak mampu untuk duduk sendiri, dan segala pergerakannya harus dibantu.
Dia hilang upaya, waimma untuk menyuapkan nasi ke mulutnya pun dia tidak mampu. Usahkan untuk berjalan, berdiri pun dia tidak mampu. Ke tandas, mandi, atau apa apa sahaja pergerakan yang perlu dilakukan menggunakan otot, pasti dia tidak mampu untuk melakukan.
Sebagai seorang sahabat, aku sangat bersimpati dengan keadaannya. Dalam usia yang masih muda, kemungkinan beliau tidak akan dapat menyambung pekerjaannya. Kebarangkalian untuk sembuh seperti sediakala sangat rendah katanya. Dan ada kemungkinan doktor akan mengesyorkan beliau untuk memohon pencen ilat.
Dengan usia anak yang baru menjangkau setahun, aku doakan semoga sahabatku ini akan memperoleh kekuatan dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala. Semoga Allah mengembalikan kesihatan buatnya, ketabahan buatnya, positif mindanya dan beliau dapat kembali seperti sediakala untuk menguruskan keluarga dan kehidupan sehariannya. Andainya aku yang melihat terasa betapa beratnya, inikan pula dia yang menanggungnya.
Andainya ada sesiapa diluar sana yang ingin membantu, samaada mempunyai info mengenai penyakit ini boleh menghubungi saya. Saya akan berikan detail sahabat saya ini kepada anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan