NuffNang

Rabu, 19 Februari 2014

Menerjah Briyani Ali, tersohor di Mentakab

Salam,

Adapun dah beberapa kali ayah aku menceritakan tentang briyani ini. Namun aku tak lah teruja sangat untuk menikmatinya walhal jika aku balik kampung, tak lah jauh sangat untuk aku kunjungi. Bandar mentakab dengan kampung aku hanyalah kira kira setengah jam perjalanan dengan berkenderaan. Mungkin disebabkan aku telah dimomokkan dengan briyani mamak ditempat aku mahupun briyani di Johor yang lebih popular diperkatakan.

Namun baru baru ini, ada seorang sahabat telah menceritakan kepada aku dia telah pergi semata semata ke Mentakab dari Negeri Sembilan untuk makan briyani ini, membuatkan aku terfikir semula. Macam aku pernah dengar pasal briyani ini. Lantas aku bertanyakan kepada ibu dan bapaku serta adikku yang menetap di kampung. Memang sah, inilah satu satunya briyani yang terkenal dan terdapat di Mentakab.

Briyani Ali ini terkenal seangkatan dengan kemunculan wilayah felda yang terdapat di daerah sekitar  Jengka dan Temerloh ini. Dalam sekitar tahun 70an, dimana pekan Temerloh dan Mentakab menjadi bandar tumpuan pada ketika itu. Ayah aku pernah memberitahu bahawa dia pernah menunggang motosikal dari kampung aku semata mata untuk membeli briyani ini untuk juada berbuka puasa.

Maka untuk mengembalikan kenangan dan memori kedai ini, aku ke Mentakab bersama sama kedua dua ibu dan bapaku. Pada mulanya gak susah juga mencari kedai ini, kerana aku memang tak biasa dengan jalan jalan sehala di Mentakab ini. Namun berpegang kepada Motto aku "Kita tak akan sesat selagi berada di bumi Malaysia ini", aku berjaya juga mencari kedai ini.


Sewaktu aku sampai, jam 11 pagi. Briyani baru sahaja siap dimasak. Masih panas, ayam goreng juga masih panas. Namun briyani tidak menarik minat anak aku untuk makan, dia lebih suka makan nasi lemak...hahaha.


Briyani yang dihidangkan adalah simple sahaja. Ada lauk ayam goreng dan juga kambing. Dihidangkan bersama popodom serta acar masak.


Jika diperhatikan kawasan sekeliling kedai, memang memori. Ramai pak cik dan makcik seangkatan usia ayah dan ibuku masih mengunjungi kedai ini. Maknanya kepopularan kedai ini masih lagi terpahat sejak dahulu hingga kini.



Jika anda dah tersesat ke daerah Mentakab ini, silalah berkunjung ke kedai ini, merasai briyani Ali. mengikut selera aku, briyani ini tidak mengecewakan dan aku percaya inilah antara briyani tersedap pada sekitar tahun 70an. Namun sedap itu adalah perkara subjektif, mungkin bagi aku sedap, tapi tidak pada orang lain.




Selasa, 18 Februari 2014

Menerjah Mentarang Sungai Besar, Sabak Bernam - Misi kedua yang berjaya

Salam,

Adapun misi menerjah mentarang di Sungai Besar ini adalah misi kedua, rentetan dari misi pertama yang gagal tempohari. Dalam misi pertama, kami kecewa kerana apabila sampai di area Sungai Besar, yang kelihatan hanyalah gerai gerai usang yang bertuliskan Mentarang.

Kami berhenti bertanya pakcik yang berniaga di pasar berdekatan. Adapun katanya mentarang ini adalah bermusim, dan hanya muncul beberapa ketika sahaja. Jika telah tamat 5 tahun musim mentarang, maka kita perlu menunggu lagi 5 tahun sebelum bertemu dengan musim mentarang kembali. Apapun yang diperkatakan pakcik itu amatlah kami percayai. Namun sejauh mana kebenarannya, wallahualam.

Namun baru baru ini, aku terbaca keratan di sumber media sosial berkaitan dengan mentarang yang kini terdapat semula di kawasan Sungai Besar ini. Maka adapun setelah beberapa ketika aku menunggu, kini tibalah masanya untuk aku menerjah kembali mencari spesis siput mentarang ini. Sebagai sedikit info, spesis siput ini hanya boleh didapati di beberapa kawasan sahaja di Malaysia ini. Dahulunya terdapat di utara perlis, di bahagian Sabak Bernam ini dan juga sedikit di bahagian selatan Johor.

Perjalanan bermula dari Kampung Awah, Temerloh kampung aku. Aku menjalankan misi mencari mentarang untuk ayah aku yang dah lama bercerita nak makan siput mentarang nie. Beliau asyik bercerita kesedapan siput ini hasil pengalamannya yang lalu ketika berada di kampungnya di utara tanahair. Lagipun GF aku pun tak pernah makan. Sekali jalan laa tuh..


Perjalanan pergi mengambil masa 3 jam lebih walaupun dari segi odometer, perjalanan ini hanya mengambil kira kira 250km, sebab aku mengambil jalan menghala ke Genting sempah dan menghala ke Kuala Kubu Baru dan exit di Tanjung Malim. Untuk kali ini, aku pun tak menggunakan apa apa peta mahupun GPS. Cuma berpandukan dengan papan tanda jalan dan juga sedikit ilmu dari pembacaan. Namun dengan cuaca yang menjangkau sehingga 38c, aku risau juga kereta akan overheating ketika memanjat Genting Sempah. Almaklum laa kereta dah tua.

Apabila sampai di Tanjung Malim, timbul satu lagi masalah. Dari Tanjung Malim, aku terpaksa menggunakan jalan dalam yang agak sunyi yang membimbangkan aku akan sesat. Dan kedaan jalan ini juga agak beralun hingga membawa aku ke penghujung jalan. Seingat aku, jalan ini akan menghubungkan Tanjung Malim ke Sungai Besar melalui beberapa kampung dan perkampungan Felda. Kalau tak silap aku, ada Felda Gedangsa dan juga kampung Serigala. kenapa ia dinamakan kampung serigala, mungkin sebab suatu ketika dulu banyak serigala kot kat kawasan nie. Di sepanjang perjalanan, kadangkala terdapat papantanda binatang liar melintas iaitu gambar tapir.

Namun disuatu ketika bila mana kita telah mengakhiri derita jalan yang beralun dan berlopak, menemukan aku dengan restoran Selera Rimba yang banyak aku baca sebelum ini. Namun aku pun tak tau samaada restoran nie sama atau tak dengan selera rimba yang selalu aku baca port budak bikers selalu lepak tu.

Aku tak berniat untuk berhenti pun. Namun dari pembacaan aku yang lepas, aku yakin ini adalah kedainya. Aku ceduk dari blog : -restoran-seri-rimba Jelajah - Explorer nie yang dah buat review kat sini.


Di pengakhiran jalan nie panjang nie, aku bertemu simpang tiga. ke kanan akan membawa aku ke Sungai besar manakala ke kiri akan membawa aku ke Kuala Selangor. Belok sahaja ke kiri, dah ternampak gerai gerai sepanjang jalan yang menjual mentarang. Alhamdulillah, nampaknya misi aku kali ini berjaya walaupun terpaksa menempuh satu perjalanan yang panjang dan berliku. Semata mata untuk mencari siput mentarang.

Ada banyak pulak kedai yang berderetan kat sini. Dan aku pulak tak tahu berapa harga semasa untuk siput nie. Jadi aku pun main terpa ajerr, tak kisahlah berapa harga pun. yang penting aku dapat bawak balik siput nie.


Siput nie khabarnya akan berada didasar sungai yang berlumpur dan berselut. Dan agak susah untuk kita mengambilnya dari dalam air. Jadi disebabkan kesusahan itulah, maka aku pun tak banyak soal. Agaknya harga kat sini semuanya sama kot. Malas aku nak survey banyak sangat kedai.

Untuk kedai yang aku singgah nie, mentarangnya telah digradinghan mengikut saiz. Saiz terbesar adalah berharga RM12, sederhana dijual dengan harga RM10 manakala yang kecil dijual dengan harga RM8 sekilo. Kakak yang jual mentarang nie pun ada jual remis jugak, iaitu sejenis siput seperti lalah gayanya.


Keramahan kakak yang jual siput nie membuatkan aku tertarik untuk membeli dengannya. Selain dari mentarangnya yang telah dicuci bersih, kakak nie juga telah memberikan beberapa info dan juga resepi resepi yang aku rasa amat berguna sebagai pedoman ketika memasak siput ini.

Antaranya, siput ini haruslah dicuci sebersih bersihnya sebelum di masak, takut jika tidak dicuci bersih akan menyebabkan kita termakan selut dan lumpur sekaligus. Ketika mencucinya juga, kita harus mencuci dengan penuh kelembutan, kerana bimbang kulit siput akan pecah dan melukakan jari. Sebaiknya cucilah dengan berus gigi yang masih belum digunakan, kerana berus gigi itu agak kecil dan tidaklah terlalu kasar juga kiranya.

Oleh sebab itu, tips untuk membeli maka belilah mentarang yang kelihatan bersih dan telah dicuci sepenuhnya agar pekerjaan kita tidak akan menjadi terlalu sukar untuk memasak nanti. Dari segi saiz pula, belilah yang agak besar kerana bimbang kesusahan untuk menbersihnya nanti. Maka ada juga info yang mengatakan bahawa mentarang bersaiz kecil itu adalah lebih sedap di makan. Namun itu terpulangkah kepada individu.




Dalam perjalanan pulang, aku mengambil perjalanan menuju ke Kuala Selangor demi untuk mengelakkan keadaan jalan yang beralun alun itu tadi. Melepasi kawasan Sungai Besar menghala ke kuala Selangor itu, kita kan bertemu dengan deretan kedai yang menjual mentarang dan kemudian kedai kedai yang menjual buah buahan mangga serta keladi atau jagung. Sepanjang jalan dengan panorama yang sangat mempersonakan apabila mereka menytusun buah buahan itu dengan kombinasi warna yang sangat menarik.

Sebelum itu, aku sempat singgah di sebuah kedai yang menjual Mentarang Bakar. Bila dah alang alang sampai di kawasan ini, aku tak nak melepaskan peluang untuk mencuba sesuatu yang bagi aku rasakan agak pelik. Duduk sahaja di kerusi, aku memesan sekilo mentarang bakar yang berharga RM 15. Manakala emak aku yang tidak makan siput memesan nasi goreng kampung.



Tak sampai beberapa ketika, siput mentarang bakar pun sampai sebanyak sepinggan penuh. Siput ini akan dicicah bersama dengan sambal kicap ataupun sos cili. Simple ajerr.



Namun aku dapat merasakan yang mentarang ini telah berada aagak lama diatas pemanggang, yang menjadikan isinya kering dan agak rapuh berbanding jika dibakar secara segar. Agak mengecewakan. Tak fresh langsung. Mungkin sebab dia dah panggang agak lama atas pemanggang tu.



Akhirnya bila nasi goreng kampung yg emak aku pesan dah sampai, hmmm...cukup menyelerakan. Maka aku pun order sepinggan lagi nasi goreng kampung dan merumuskan bahawa nasi goreng kampung ini adalah jauh lebih sedap daripada mentarang bakar. Ayah aku sebagai peminat mentarang juga bersetuju dengan pendapat aku...hahahaa.

nasi goreng kampung...hmmm


Bila dah kenyang isi perut, kami pun bergerak meninggalkan kawasan ini menuju terus ke Kuala Selangor. kira kira pukul 6 petang. Dari situ, aku mengambil jalan menuju ke Rawang melalui Batu Arang. Dari Rawang, aku mengambil lebuhraya PLUS hingga sampai di exit Kepong dan dari situ terus menuju MRR2 menuju ke Gombak dan menghubungkan dengan lebuhraya Karak hingga ke Temerloh. Selamat sampai di rumah kira kira jam 9.30 malam. Satu perjalanan yang agak memenatkan.

Bila dah sampai ke rumah, timbul satu lagi masalah bagi kaum ibu. Menyediakan hidangan makan malam berasaskan mentarang. Dalam kepenatan, terpaksa pula mencuci siput ini. Namun setiap perkara yang dibuat dengan ikhlas akan mendapat ganjaran dari Allah jua. Dan inilah hasilnya...memang sesuatu yang amat memuaskan hati. Walaupun perjalanan sangat jauh, namun hasilnya memang berbaloi baloi. Siput ini memang sangat sedap Rasa siput ini memang manis. Lebih sedap dari segala macam siput yang pernah aku makan. Tapi kalau tanya aku mentarang bakar? Aku akan geleng kepala...tak kena dengan selera aku.

Mentarang masak berlada. Marbless...

Kopek kulitnya...dan isinya boleh dibuat sambal tumis.

Sup mentarang yang terbaek. Rasa isinya yang cukup manis memang menambat jiwa.
dan juga sambal tumis mentarang...terbaekkkk.

Selasa, 11 Februari 2014

Menerjah Popia Kuala Kangsar, Stadium Paroi, Negeri Sembilan

Salam,

Selalu sangat keluar mengembara jalan jalan cari makan ke tempat orang, rupanya kat tempat sendiri pun ada port port menarik yang boleh dijelajah. Cuma bezanya, takyah laa nak keluar duit minyak banyak sangat untuk sampai ke destinasi. kejab pun dah boleh sampai dah.

Diilhamkan dari resepi gurunya yang berpengkalan di Kuala Kangsar, rasa popia ini memang tidak lari daripada Popia Kuala Kangsar. memang kalau diamati, terdapat satu notis yang ditampal di cermin tempat popia ini dipamerkan. Sejarah bagaimana beliau berguru dengan pengasas popia Kuala Kangsar ini, dan membuka kedainya sendiri bertempat di stadium Paroi ini. Memang ramai, kalau hari biasa pergi, meja memang penuh. Selalin dari popia basah, kedai ini juga mempertaruhkan popia goreng yang tidak kurang juga kelazatannya. Begitu juga dengan cucur udang, yang amat menjadi kegemaran kepada aku sendiri.


Selalin dari popia yang menjadi trademark untuk kedai ini, korang boleh amati dan order menu menu lain yang terdapat di kedai ini. Nombor telepon pun ada terdapat kat signboard tu. Jadi bagi korang yang tinggal jauh dan berhasrat untuk mencuba, so korang boleh telepon dulu. Takut nanti korang sampai tapi kedai tutup pulak, kecewa laa pulak.


Bagi aku, tidak mengecewakan. Korang yang datang dari jauh pun, boleh mencuba. Tapi sedap itu subjektif, mungkin aku rasa sedap tapi korang rasa tak. So yang tu termasuk dalam kategori lain laa...Cuba dulu dan nanti boleh share.


Isnin, 10 Februari 2014

Menerjah cuaca panas ke Tanjung Piai, Penghujung Benua Asia. Dengan motor aku mengembara

Salam,

Aku memang dah lama sangat tak berjalan jalan keluar dari Negeri Sembilan nie. Kesibukan kerja memang mengekang masa aku untuk menjalankan kegiatan luar dan hobi aku nie. Namun akhirnya, aku mencuri sedikit masa untuk aku menghilangkan stress kerja.

Dengan hanya dua biji motor, aku dan adik aku merancang untuk memulakan perjalanan singkat. Tiada tujuan pada mulanya, memandangkan segala proposal dan cadangan aku ditolak oleh adik aku. Nak ajak pekena udang galah di Kuala Rompin, pun dia tak setuju. Ajak ke Cameron, aku pulak tak setuju. Nak ke Melaka, dekat sangat. Nak ke Taiping, hmmmm memikirkan cuaca panas nie tak berapa semangat sangat aku nak terjah, jauh bebenor.

Akhirnya adik aku cadangkan agar ke Sepang sahaja untuk melihat test motor GP. Aku layan ajer laa, ingatkan lepas tu nak ajak adik aku terus ke Kuala Selangor. Okay, lineclear. Aku tunggu kat Senawang...


Sebelum gerak, adik aku telepon. Aku cakap tunggu kat RnR Senawang.  Aik!! Kalau dah tunggu kat situ,  tak mungkin nak ke Sepang. Hahaha,  nampak tak permainan aku tu...Sampai jerr kat port, aku tanya nak kemana. Aku bagi cadangan utk pekena nasi briyani pastu terus gerak ke Pontian. Jangan tanya aku apa yg best kat sana. Sebab bagi aku yg best adalah saat saat kita di atas motor tu...Bukan destinasi yang dituju.


Hentian pertama adalah RnR Ayer Keroh. Aku perlu isi minyak selepas beberapa km lampu minyak berkelip kelip. Nasib bawak dalam 100kmj sahaja. Kat sini aku isi full tank RM38.  Bagi duit RM40,  lebihnya beli mineral water.  Cuaca panas terik membara. Kat sini tak berhenti lama pun, cuma isi minyak ajer. Bila dah minyak penuh dalam tangki, baru lah boleh laju sikit. Itu pun ikut hadlaju kebangsaan ajer.


Meredah cuaca panas yang kering hingga aku nampak signboard susur keluar ke Muar melalui Sg Mati. Kalau tak silap aku, Sg Mati nie port ghazal yg paling best kat Johor nie kot. Kalau salah, tolong betulkan ya. Nie adalah exit yg paling baru. Sebagai alternatif daripada kita turun di exit Tangkak. Jalan terus sampai Pekan Muor, naik jambatan menuju ke Batu Pahat.  Punya laa banyak traffic lights. Sampai kipas radiator KLR beberapa kali berpusing.


Akhirnya sampai juga ke pekan Batu Pahat.  Aku ajak adik aku test nasik briyani bawah pokok sena. Asyik pekena kat Md Shah ajer,, kali nie pekena kat bawah pok pulak. Testtt.

Aku makan briyani daging manakala adik aku pekena briyani kambing. Selesai makan, aku telepon org rumah. Nak bungkus bawak balik. Tapi gf aku cakap tak nak tapau kat situ. Nak briyani Md Shah jugak. Adoii, terpaksa laa turn semula. Korang punya citarasa mcm mana? Bagi aku lebih kurang ajerr. Yg membezakan, bwh pokok akan dapat acar nenas dan kari dhal. Kalau kat Md Shah, dpt dhal ajerr..


Taraa...dah sampai dah kat Md Shah. Tak jauh pun dari bawah pokok tu. GF aku suka dekat Md Shah nie sebab dia nak kirim acar buah. Hahaha...patut laa. Tapi tak perr, sebab ride kali nie dia tak ikut. Sejak anak aku dah bersekolah rendah nie, nampaknya aku akan banyak buat ride solo jerr laa. Thanks buat wife aku yang memahami.


Nahh...harga briyani kat Batu Pahat yang tak dapat dibandinghkan dengan harga di tempat lain. Kalau nak dibandingkan dengan harga khabsa atau nasik arab...hmmm...lagi laa jauh berbeza. Tapi nak sampai ke sana pulak laa masalahnya. Jauh bebenor. Sekali sekala okay laa kalau terlanjur sampai..


Bila perut dah kenyang, bergerak pulak dalam cuaca panas memang cukup menduga.  Deretan kereta pulak boleh tahan banyak nya. Mencelah celah, akhirnya sampai jugak kat Benut. Berhenti dulu, nak solat. Sambil tu boleh isi minyak dulu. Beli air mineral botol besar...hahaha. Panas betul. Dulu masa cuaca dingin, tak berniat pulak nak ride. Bila dah panas terik, baru nak ride. Tapi apapun, alhamdulillah. Semua kuasa tuhan yang menjadikan.



Selesai urusan, kami meneruskan perjalanan. Menuju destinasi Penghujung Benua Asia yang hampir tiba. Phergghhh,  bunyi cam jauh jerr kan. Walhal dekat ajerr.  Meneruskan perjalanan merentasi bandar Pontian. Terus sahaja hingga hampir sampai ke Kukup. Belok kiri menuju ke Tg Piai. Kalau terus, boleh pekena seafood kat Restoran Mandela.  Itu mungkin trip lain kali bersama keluarga. 



Akhirnya selepas berpanas atas motor,  kami berjaya sampai jugak ke destinasi. Parking motor, simpan jaket dan helmet. Masa nie adik aku menyuarakan betapa pentingnya ride bawak tong kiri kanan. hahaha..Apasal ride tak pakai box, kan dah kena. Selain dari boleh simpan helmet, tong juga berguna untuk tapau nasik briyani untuk di bawa balik, ataupun simpan durian bila singgah beli kat tepi jalan.

Beli tiket RM 5 sorang, kami masuk ke Taman Negara Tg Piai nie. Cantik kawasan hutan paya bakau nie. Memang menarik. Terpaksa berjalan kira kira 600m sebelum sampai ke mercu tanda titik Penghujung Benua Asia. Tapi memang menarik. Dari sini, kita boleh nampak Singapura, Tg Bin, Power plant terbesar di AsiaTenggara. Kalau cuaca elok, khabar nya boleh nampak kepulauan Indonesia.  Tapi yg pasti, memang banyak kapal yg melalui selat Melaka ini.




Malangnya apabila kami sampai, bateri telepon pulak habis. So tak banyak gambar boleh diabadikan. Kami pun bergerak secepat yg mungkin untuk mengejar masa pulang. Kami gerak keluar dari Tg Piai dlm pukul 6 ptg. Melalui pekan Benut menuju ke Exit Simpang Renggam. Dari Tanjung Piai untuk sampai ke tol Simpang Renggam akan makan masa hampir satu jam. Waktu nie highway agak sibuk. Kami sampai ke Melaka sejam kemudian. Keajuan malar 140kmj. Tak perlu laju laju.

Berhenti refueling di Pedas dan kami berpisah di exit Senawang. Adik aku akan meneruskan perjalanan ke KL manakala perjalanan aku tamat di sini. Jumlah perjalanan sekitar 550kmj. Seronok sebab dah lama tak keluar ride...Adik aku sampai rumah dengan trip odometer mencecah 740km. Next time plan nak ke utara, pekena udang lipan. Atau mungkin boleh ke Kuala Gula. Tapi dengan syarat, aku nak adik aku tunggu di Nilai. Sebab aku malas nak ride sensorang sampai ke Rawang. Boring bebb...

Isnin, 3 Februari 2014

Senawang - Muadzam Shah - Cherating - Tasik Kenyir - Gua Musang - Kuala Lipis - Senawang

Salam,

Bila ada kelapangan dan kesempatan bersiar siar bersama keluarga, aku bawak laa diaorang berjalan ke pantai timur. Bukannya tak pernah pergi pun, dah pernah sampai pun sebelum nie tapi rasanya macam dah tak der tempat lagi nak berjalan jalan.

Last last aku ajak diaorang ke Cherating. Tak plan pun nak ke Cherating, tapi memandangkan bertolak pun dah agak lewat sekitar pukul 2 petang, so sampai melewati Kuantan pun dah senja. Ambik lebuhraya pantai timur dan akhirnya melewati Cherating kira kira jam 8 malam.

Bila kita sampai dah malam di satu satu tempat tu, memang laa tak ada harapan nak pilih pilih tempat penginapan. Terutamanya yang budget. Kalau yang mahal tu mungkin senang nak cari. So bila nampak ajer papantanda tempat penginapan, apa lagi terus masuk dan tanya bilik laa.


Walaupun hari Sabtu, namun tak ada ramai sangat pengunjung sebab bukan musim cuti sekolah pun. Ada satu kumpulan daripada UITM Terengganu yang datang buat family day kat sini. Bilik yang lain masih ada kekosongan. Aku ambik bilik yang paling dekat dengan pantai.


Takder laa dekat sangat dengan pantai pun, tapi dengar jugak laa bunyi deruan ombak laut. Masa malam tu tak nampak apa pun. Gelap gelita. Tapi bila dah siang tu, baru nampak yang pantai berada jauh daripada tempat penginapan.

Pagi tu bila bangun tido, sempat laa aku bawak anak aku pergi mandi manda ala kadar kat pantai tu. Aku gerun sikit nak mandi kat laut nie, sebab nampak lautan yang saujana mata memandang tu.


Siap mandi manda, sempat laa pergi breakfast yang disediakan. Ada makanan pantai timur ala ala kampung gitu.



Ada juga cadangan nak mandi kolam, tapi bila tengok ramai sangat pengunjung tengah berendam, terus cancel.



Siap sahaja breakfasts,  aku checkout dan memulakan perjalanan balik yg tidak dirancang laluannya. Singgah dulu beli keropok di tepi jalan, buat kudapan dalam kereta. Bagi aku, keropok area sini boleh tahan jugak. Banyak rasa ikan dan tidak gatal. 


Dengan tiba tiba kemudian aku terpikir untuk melalui jalan yg dah lama aku impikan. Tasik Kenyir melalui Felda Aring. Jika selama ini aku hanya membaca pengalaman org lain sahaja. Kali ini kita mesti rasa sendiri.

Perjalanan dari Cherating menuju ke Tasik Kenyir mengambil masa kerana melalui jalan dalam yang membosankan. Namun kadang kala, merentasi perkampungan. Agak perlu berhati hati kerana risau mungkin akan ada yg akan melintas jalan.


Akhirnya aku sampai juga ke tasik kenyir. Perjalanan yang panjang ini boleh dikatakan agak membosankan kerana pemandangan dikiri kanan adalah pepohonan sawit dan juga pokok getah.

Perjalanan yg paling menarik pada aku ialah apabila kita mencuba untuk merentasi Tasik Kenyir yg akan membawa kita sehingga ke Felda Aring. Walaupun jalan yg agak teruk menyambut kita sebaik sampai dinegeri Kelantan, namun percayalah kita akan berpuas hati dengan pemandangan yg disajikan. Memukau pandangan mata.



Perjalanan yg memakan masa kira kira satu jam ini akan merentasi hutan dan sekali sekala melintasi pinggiran tasik Kenyir amat memukau pandangan. Namun nasihat dari aku, cuba elakkan dari melalui jalan ini berseorangan atau ketika hari menghampiri senja,  kerana khuatir jika berlaku sesuatu yg buruk ke atas kenderaan yg anda naiki.

Talian telefon agak mengampakan, begitu juga dengan kawasan kediaman atau kependudukan yg memang anda tak akan jumpa. Keadaan jalan memang terbaik,  cuma sesekali sahaja anda akan berjumpa dengan jalan yang berlubang atau tanah runtuh.



Pastikan juga minyak kereta anda mencukupi untuk membawa anda hingga ke Gua Musang. Kalau anda naik motor dan berasa sedikit was was, baik kiranya anda membawa sedikit bekalan dalam tong berasingan. Manalah tahu kalau kalau kekeringan bahan bakar pula nanti.



Namun anda harus sedikit bersabar sebaik memasuki Felda Aring kerana jalan mulai rosak dan tidak bertar. Namun sebelum sampai ke situ, anda boleh singgah di pusat pemuliharaan gajah yg terdapat di situ. Sesuai untuk anak anak atau bagi ibu bapanya juga.









Cubalah sekali, dan ceritakan pengalaman anda...pasti anda berpuas hati.

Please Click..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...